Friday, May 30, 2008

Apakah Wawasan Anda ...

Suatu hari ketika mengembara, seorang ahli fikir 'terserempak' 3 orang pekerja yang sedang menyusun batu-bata untuk membina sebuah bangunan. Lalu beliaupun menanya ketiga-tiga pekerja tersebut.

" Apakah yang sedang kamu lakukan?" tanya ahli fikir.

" Saya sedang melepa bata," jawab pekerja pertama.

" Apakah yang sedang kamu lakukan?" tanya ahli fikir kepada pekerja kedua.

" Saya sedang membina dinding bangunan," jawab pekerja kedua.

" Apakah yang sedang kamu lakukan?" tanya ahli fikir kepada pekerja ketiga.

" Saya sedang membina sebuah bangunan yang paling indah di bandar ini." jawab pekerja itu.

Tiga orang pekerja yang mungkin sebaya, punya ilmu pengetahuan dan kemahiran yang setara. Bahkan mungkin juga sahabat karib. Namun apa yang paling jelas ialah mereka tidak berkongsi wawasan yang sama di atas pekerjaan yang mereka sama-sama dipertanggungjawabkan.

Tiada beza dari segi guna anggota fizikal bagi melakukan tugas masing-masing. Kesemua mereka mungkin mengguna hanya tangan sahaja. Namun daripada jawapan ketiga-tiga pekerja tersebut amat jelas pada kita akan jurang perbezaan minda mereka.

Wawasan pekerja pertama hanyalah "melepa" bata sedangkan bagi pekerja ketiga pula amat murni iaitu berwawasan tinggi untuk menyempurnakan tugasnya bagi menghasilkan bangunan terbaik di bandar itu.

Mari kita renungkan sejenak. Seandainya anda ingin membina sebuah banglo milik anda sendiri siapakah diantara perkerja tersebut yang akan anda pilih sekiranya anda hanya boleh melilih seorang dari mereka? Sudah semestinya pekerja yang ketiga yang menjadi pilihan anda.

Namun jauh lebih besar dari itu: Persoalan kita hari ini ialah siapakah diantara mereka yang akan menikmati hidup yang lebih berjaya di masa depan? Sudah tentu rata-rata kita akan memilih pekerja ketiga. Kelebihan unggul pekerja ini ialah wawasan yang jelas terserlah di minda beliau.

Hari ini kita memiliki kelebihan jika dibandingkan dengan orang sekeliling kita seandainya kita punya pengetahuan dan kemahiran yang lebih. Namun di dunia tanpa sempadan ianya tidak mencukupi. Sebaliknya kita amat perlu ada kelebihan tambahan yang lebih jitu iaitu wawasan bagi memacu arah halatuju kita. Amat malang ramai diantara kita pada hakikatnya tidak punya apa-apa wawasan untuk kehidupan masa depan. Tanpa wawasan yang jelas kita mungkin tidak akan mengecapi kejayaan selaras potensi yang sedia ada pada kita. Marilah kita bersama memikirkan di manakah kita ingin berada di masa depan.

Kita boleh bermula dengan angan-angan. Kemudian menjadi impian. Seterusnya menjadi wawasan atau dalam kata mudah cita-cita. Setiap hari kita hendaklah 'nyalakan' obor wawasan ini disusuli dengan usaha dan semangat tinggi (burning desires). Kita juga pancarkan paparan wawasan di dalam minda kita. InsyaAllah suatu hari nanti kita akan kecapi kejayaan hasil penjanaan wawasan di minda kita.

Oleh itu tidak kira jika kita adalah pelajar, remaja, belia, pekerja mahu pun ibubapa, kita harus tanya diri kita sendiri.....Apakah Wawasan Kita???