Thursday, January 1, 2009

Selamat Datang Tahun 2009

Begitu pantas masa berlalu. Kini kita telah berada di hari kedua 2009. Hari ini adalah hari istimewa buat keluarga kami. Hari ini adalah hari lahir isteri dan ibu bagi anak-anak kami.

"Selamat Hari Lahir Buat Isteri Tersayang, Liza!"

Masa ada keistimewaannya. Antara salah satu perkara yang adil bagi semua orang di muka bumi ini ialah masa. Semua orang - samada lelaki atau wanita, samada tua atau muda, samada tinggi atau rendah, samada kecil atau besar, samada putih atau hitam, bahkan di mana sahaja mereka berpijak di muka bumi ini, kesemua mereka punya masa samarata - 24 jam sehari - tidak lebih dan tidak kurang! Memang benar itulah hakikatnya.  Kebijaksanaan mengurus masa pula adalah faktor terpenting penentu kejayaan seseorang. 

Mari kita merenung sebentar. Apa kata seandainya ada satu bank di Malaysia ini - setiap hari memasukkan ke akaun bank kita sebanyak RM 1440 sehari. Kita berhak belanjakan wang tersebut ikut kemahuan kita walaupun sehingga habis kesemuanya. Sebaliknya jika kita tidak belanjakan atau habiskan baki wang pada penghujung hari tersebut, bank akan ambil balik wang tersebut dan bakinya menjadi kosong! Esoknya, bank akan memasukkan semula RM 1440 dan begitulah seterusnya. 

Apakah perasaan anda sekiranya anda ada peluang untuk berurusan dengan bank ini. Apa akan anda lakukan setiap hari? Adakah anda akan biarkan baki wang anda di'telan' semula oleh bank sekiranya ia masih lagi berbaki dalam akaun anda pada penghujung hari.  Saya percaya tidak. Sudah tentu anda akan pastikan setiap 'sen' akan dibelanjakan! Itulah naluri kita, manusia.

Sebenarnya, samada kita sedar atau tidak, memang ada satu bank seperti itu di Malaysia ini. Ingin tak anda berurusan dengan bank ini? Untungnya kita tak perlu berbuat apa-apa kerana secara 'automatic' kita semua  telahpun menjadi pelanggan bank ini.

Bagaimana? Cuma bank ini sebenarnya tidak memasukkan 'wang' RM 1440 ke dalam akaun kita setiap hari.  Sebaliknya, ia memasukkan 1440 minit bagi setiap hari kita berada didunia ini. Dan apabila kita melangkah keesokan harinya, di tambah 1440 minit lagi dan begitulah seterusnya selagi kita masih hidup. 

Apakah kita akan 'belanjakan' kesemua 1440 minit  sebagaimana RM 1440 setiap hari supaya tidak 'kerugian'? Alangkah beruntungnya sesiapa yang mem'belanja'kan setiap minit sebagaimana setiap 'sen' yang ia perolehi setiap hari! Penggunaan masa sebaik mungkin dan tidak membuang masa adalah faktor terpenting penentu samada kita akan menjadi insan yang berjaya atau sebaliknya! Bagi seorang pelajar, penggunaan masa dengan bijak adalah penentu kejayaan pelajar tersebut. Ia mestilah dilakukan setiap hari tanpa gagal.

Pepatah, "Masa itu Emas" memang tepat.











No comments: